Dalam Kenangan - Ustaz Asri Ibrahim (1969-2009)

Photobucket
Ustaz Asri Ibrahim (1969-2009)

Mana milik kita, Tidak ada milik kita

Semua yang ada, Allah yang punya

Tidak ada kita punya, Kita cuma mengusahakan saja
Apa yang kita dapat, Allah Sudah Sediakannya

Kita Allah punya, Bumi langit ciptaannya
Miliklah apa saja, Tidak terlepas dari ciptaannya

Mana milik kta, Tidak ada kepunyaan kita
Kita cuma mengusahakan ,Apa yang telah ada

Inilah dia antara bait-bait yang menyentuh kalbu didalam lagu Mana Milik Kita dendangan Kumpulan Rabbani yang selama ini di kemudi oleh Ustaz Asri Ibrahim. Akan tetapi, selepas ini, dan seterusnya, Ustaz Asri Ibrahim tidak akan bersama Rabbani lagi kerana beliau telah pun bersama-sama dengan para solihin dan mukminin menghadap Allah Rabbul Jaleel buat selama-lamanya. Pemergian mengejut beliau telah mencetus satu perasaan sugul yang amat terhadap semua penggiat seni terutamanya penggiat nasyid yang sama-sama berjuang dengan beliau di arena seni dakwah. Kelunkan suara, kesantunan budinya, menggamit sesiapa sahaja yang pernah bersua dengan beliau semasa hayatnya. Mulutnya ringan memberi salam dan sangat sukar untuk kedengaran kata-kata menyinggung perasaan keluar dari bibir beliau. Beliau adalah pejuang nasyid dan pejuang seni dakwah sebenar. Kehilangannya amat dirasai dan sukar di cari ganti. Tertarik dengan headline blog di blog milik arwah yang berbunyi,

"Aku adalah pengejar syurga akhirat, bagiku dunia ini adalah tempat mempersiapkan segala sesuatu untuk meraih syurga akhirat; aku yakin bahawa syurga akhirat tidak akan pernah dapat aku raih kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu. Maka rumah dan keluargaku adalah syurga dunia paling indah buatku. Tempat kerja syurga dunia harianku. Tetangga, masyarakat,dan bangsa adalah syurga duniaku yang lebih luas.Ke manapun dan sampai bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku..."

Dari kata-kata itu sahaja sudah cukup untuk mencerminkan keperibadian arwah sebagai seorang muslim yang sangat prihatin dengan amal ibadah, keluarga, masyarakat agama dan bangsa demi mencapai syurga Allah yang kekal abadi. Kehidupan dunianya dipenuhi dengan bayangan syurga. Sukar untuk kita temui insan seperti ini. Moga Allah memperkenankan permintaannya dan semoga arwah bersama orang-orang yang beriman.

Mengapa kita sombong, memiliki Allah punya
Mengapa tida malu, kepada Allah yang empunya

Patut bersyukur kepada Allah, Yang memberi segalanya
Malulah kepada Allah, Malulah kepada Allah
Kerna Milik ia punya

Photobucket
Arwah bersama anaknya, Hamdi...

Teringat ketika berada di Tingkatan 5 dahulu, Soul Ghamidi pernah berkongsi pentas dengan Rabbani untuk satu konsert nasyid yang mengambil tempat di SAMTH Klang pada tahun 2005. Itulah kenangan yang paling tidak dapat dilupakan, saya sempat bersalam dengan arwah Ustaz Asri dan beliau tidak putus-putus memesan agar kami terus memperjuangkan dakwah dan nasyid. Arwah telah banyak memberi semangat dan tidak ku sangka, pertemuan itu merupakan pertemuan yang pertama dan terakhir dengan arwah. Terasa seperti baru semalam pertemuan itu berlaku. Bagi saya, arwah adalah seorang yang berkaliber tinggi, penyayang, bertimbang rasa dan sangat mudah melemparkan senyuman. Sangat senang untuk melihat arwah senyum terutamanya ketika beraksi di atas pentas.

Janganlah berbangga, apa yang ada pada kita
Kalau Allah tidak beri, Kita tidak punya apa-apa

Janganlah mengungkit, Mengungkit jasa kita
Jasa kita disisinya, Yang sebenarnya Allah punya

Marilah kita bersyukur, Bukannya berbangga
Besyukur kepada Allah, Bukan mengungkit jasa

Gunakanlah nikmat Allah itu, Untuk khidmat kepadanya
Selepas itu lupakan saja, Agar tidak mengungkit-ungkitnya

Sekalung takziah buat keluarga Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim. Sesungguhnya, pemergianmu sukar di cari ganti. Apakan daya, Allah lebih memerlukanmu dan lebih menyayangimu. Semoga Arwah tenang dan aman disana. Hanya doa dan Fatihah dapat kami kirim kan dari dunia kami kepada dunia baru arwah. Semoga ditempatkan bersama para mukminin, mujahideen dan solihin.


Rabbani - Mana Milik Kita

P/S: Sengaja diselitkan lirik lagu "Mana Milik Kita" yang dialunkan oleh Rabbani. Sekadar mengimbau nostalgia lalu dan menginsafi diri. Sesungguhnya tidak ada apa milik kita, termasuklah nyawa dan ruh yang bersemadi didalam diri ini. Beringatlah...

Post a Comment